Sunday, 3 February 2013

Peranan guru sebagai Mu'allim, Murabbi, Mursyid, Muaddib, Mudarris

Mu'allim ialah guru yang menjayakan proses penyampaian dan pembangunan ilmu dalam diri manusia (ta'lim). Kedudukan mulia diberikan kepada guru, walaupun mereka bukan berstatus ulama.

Guru dipanggil juga sebagai Murabbi, iaitu guru yang mendidik (menjayakan tarbiah). Mereka menjayakan peningkatan murid dari segi akal, rohani, jiwa dan fizikal. Mereka bertanggungjawab membentuk murid yang memiliki peribadi yang baik. Apa yang berlaku ialah proses peningkatan dalam diri murid. Guru yang mempunyai kemampuan sebagai murabbi - apa lagi murabbi dalam pengertian kerohanian - dipandang mulia dalam Islam kerana mereka mempunyai keperibadian yang mampu membawa manusia ke jalan kebaikan dan kebenaran sebagaimana yang dikehendaki Allah dan RasulNya. Alangkah beruntung dan bahagianya masyarakat dengan adanya guru yang bukan sahaja menyampaikan mata pelajaran kepada murid, tetapi turut meningkatkan peribadi dan kemampuan mereka.



Dalam Islam, guru juga dipanggil Mursyid, iaitu guru yang membimbing, menentukan kehidupan serta nilai yang betul. Ini memang tepat dengan tujuan dan matlamat pendidikan sebagai proses menyampaikan kepada generasi muda, apa yang benar, baik dan unggul yang pernah diketahui, difahami, diyakini dan diamalkan dalam peradaban manusia, khususnya Islam. Ini termasuk setiap yang positif yang boleh dimanfaatkan daripada peradaban lain, termasuk barat. Mana-mana yang negatif pula perlu dijauhkan.

Dalam Islam guru juga dipanggil Muaddib, iaitu guru yang menjayakan adab. Yang dimaksudkan dengan adab ialah semua jenis gerak-geri, sikap dan perbuatan serta nilai yang betul dan 'manis' dalam hubungan dengan semua pihak, bermula dengan Tuhan, orang tua, ibu, bapa, guru, rakan dan seterusnya. Inilah konsep adab yang menyeluruh dan luas yang disebutkan oleh Nabi Muhammad saw. dalam hadis yang lebih kurang bermaksud: Tuhanku menjayakan pendidikan adab dalam diriku dan Dia sempurnakan pendidikan adab itu. Pendidikan yang dijayakan oleh guru yang beradab kepada murid adalah pendidikan yang unggul. Ia memang diharapkan melihat kepada pelbagai masalah akhlak dan moral yang dihadapi sekarang.

Kepentingan akhlak diberi penekanan yang wajar oleh Islam. Sebab itu Nabi Muhammad saw. bersabda lebih kurang maksudnya: Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Akhirnya guru digelar dalam Islam sebagai Mudarris, iaitu mereka yang mengajar mata pelajaran kepada pelajar. Guru sebagai mu'allim, murabbi, muaddib dan mursyid adalah kualiti yang perlu diusahakan bersama supaya ia muncul di kalangan kita dan dengan itu banyak masalah akan selesai. 




Reactions:

0 comments:

Post a Comment